ISTIMEWA



 Nasional   

PRU13: Khalid tawar diri jadi MB penggal kedua

pada 12-04-2013 04:04 Ditulis Oleh Siti Sofia Md Nasir

Post Pic


KLANG: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menawarkan diri untuk menjadi Menteri Besar Selangor penggal kedua sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kemenangan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa dirinya bukan calon tunggal jawatan itu seperti yang dimaklumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam.

Menurutnya, perbincangan mengenai pemilihan menteri besar biasanya diadakan bersama kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat selepas keputusan pilihan raya umum.

"Kenyataan itu memang betul sebab sebelum pemilihan akhir, sebelum menentukan MB yang mewakili Pakatan, terdapat perbincangan pemimpin-pemimpin selepas pilihan raya.

"Kalau kita tidak dapat keputusan yang baik, tidak mengapa. Sekiranya dapat keputusan yang baik, saya menawarkan diri menjadi MB," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan kepada Yayasan Pendidikan Islam Selangor di Kampung Delek Baru, di sini hari ini.

Semalam Wan Azizah dipetik sebagai berkata Pakatan Rakyat Selangor mempunyai ramai calon yang berkredibliti untuk memegang jawatan menteri besar.

Beliau berkata Khalid telah berkhidmat dengan baik sebagai ketua negeri, namun kepimpinan parti dalam masa sama turut mempertimbangkan calon lain.

Katanya sebuah jawatankuasa akan meneliti perkara tersebut dan memilih siapa yang layak menjadi menteri besar selepas PRU13 dengan syarat pembangkang kekal berkuasa.

Khalid dilantik menjadi Menteri Besar Selangor apabila Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum 2008.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Khalid sebagai calon PKR kerusi parlimen Bandar Tun Razak namun sehingga kini belum menyatakan sama ada bekas ahli korporat itu kekal bertanding di kerusi DUN Ijok.

Khalid turut dilaporkan bakal dipindahkan di kerusi DUN Pelabuhan Klang menggantikan bekas ADUN PKR Badrul Hisham Abdullah yang bertindak lompat parti dan menyertai Umno pada tahun 2010.


Ruangan Komen