ISTIMEWA



 Nasional   

Pemilihan PAS: Senarai rasmi calon layak bertanding diumum esok - Asmuni

pada 20-10-2013 10:10 Ditulis Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic


KUALA LUMPUR: Senarai rasmi calon yang layak bertanding pada pemilihan PAS 2013 bagi jawatan peringkat pusat termasuk tiga sayap parti akan diumumkan esok, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Asmuni Awi.

Ketika dihubungi Antarapos, Asmuni berkata pihaknya akan mengumumkan senarai nama calon yang layak bertanding pada pemilihan yang akan diadakan pada penghujung November depan.

Jelas beliau, teka-teki jumlah pencalonan bagi semua jawatan peringkat pusat termasuk Jawatankuasa PAS Pusat, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama akan diketahui pada sidang media yang akan diadakan pada 21 Oktober di ibupejabat PAS, Jalan Raja Laut.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 dan pemilihan barisan kepimpinan akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan.

Tambah Asmuni, mengikut perlembagaan PAS, seseorang itu hanya memerlukan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding mana-mana jawatan parti termasuk jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan presiden.

"Dua pencalonan sudah memadai bagi mana-mana jawatan...sudah cukup, kita guna kaedah seorang pencadang dan seorang penyokong.

"Kita maklumkan dan hantar surat kepada mereka untuk menyatakan mereka dicalonkan untuk jawatan tersebut.

"Jadi mereka kena balas dan isi borang yang disertakan kepada kita dalam tempoh tertentu," katanya mengulas perkembangan proses pemilihan kepimpinan PAS yang baru untuk sesi 2013-2015.

Pada pemilihan kali ini tumpuan akan diberikan bagi persaingan jawatan ahli jawatankuasa kerja pusat yang memperuntukkan 18 kerusi sementara enam lagi kerusi tersebut dilantik oleh parti.

Difahamkan tarikh tutup untuk membuat pengesahan adalah pada 8 Novemberini untuk Jawatankuasa Pemilihan mengeluarkan senarai penuh calon yang akan bertanding.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 30 September lalu.


Ruangan Komen