pada 18-05-2012 06:05 Ditulis Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Sikap bertolak ansur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan syarikat Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd (Merapoh) berhubung projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) menimbulkan tanda tanya.
Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang dihubungi berkata walaupun menyedari syarikat berkenaan gagal meneruskan projek bernilai RM 36.6 bilion itu namun Azizan tetap memberi keutamaan.
"Menteri Besar telah terangkan bahawa mereka mahu beri peluang kepada Merapoh lagi, persoalannya mengapa Menteri Besar masih lagi memberikan keutamaan kepada Merapoh
dan tidak ingin menghentikan menamatkan perjanjian itu," kata beliau kepada AntaraPos.com.
Katanya lagi, alasan yang digunakan oleh Menteri Besar itu untuk tidak menggunakan kaedah tender terbuka berikutan masalah kewangan adalah tidak masuk akal.
"Dua hari lalu, dia telah mengaku bahawa projek tersebut tiada open tender kerana kerajaan negeri tidak mempunyai duit untuk berbuat demikian dan tidak logiklah alasan dia," katanya lagi.
Tambahnya, bukan hanya projek SULIHH sahaja, bahkan dua lagi projek iaitu Aman Central dan Aman Suria yang masing-masing bernilai RM 500 juta dan RM 109 juta juga tidak dilaksanakan melalui tender terbuka.
"Semua ketiga-tiga projek ini Menteri Besar Kedah sudah akui tiada tender terbuka.
"Kelemahan mereka adalah tidak memilih secara telus, mereka tidak kaji mereka tidak jemput syarikat-syarikat pemaju lain untuk memberikan pandangan terlebih dahulu," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan berkata pengumuman projek bernilai jutaan ringgit di negeri itu hanya gimik politik PAS yang bertujuan memaparkan imej pentadbiran baik kerajaan Pakatan Rakyat.
Namun menurut beliau realiti yang dialami negeri itu amat berbeza.
"PAS mahu menunjuk-nunjuk pada masa pemerintahan mereka ini banyak syarikat yang mahu membangunkan negeri Kedah tetapi sebenarnya tidak ada pun,"beliau menjelas.
Tambahnya lagi, walaupun kerajaan negeri membuka semula tender kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk meneruskan projek tersebut, dijangkakan ianya tidak akan mendapat sambutan berikutan keyakinan yang semakin menipis terhadap kerajaan negeri itu.
"Saya rasa walaupun kerajaan negeri bukak 'open tender' tidak banyak syarikat yang nak masuk dalam projek ini," jelas beliau.
Datuk Seri Azizan beberapa hari lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa projek SULIHH bernilai RM 36.6 bilion di Yan, Kedah itu yang sepatutnya bermula pada tahun 2010 kini tergendala akibat masalah kewangan oleh pemaju yang dilantik.
Katanya lagi, kerajaan negeri sehingga hari ini tidak menerima tawaran daripada syarikat lain untuk meneruskan projek berkenaan.




















